Friday 7 March 2014

Kewajipan berzakat atas emas

Emas dan perak adalah jenis-jenis logam yang diwajibkan zakat. Kewajipan zakat ke atas kedua-dua logam ini dijelaskan dalam firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Dan mereka yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (mengeluarkan zakat) maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang pedih, pada hari emas dan perak dibakar di dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi dan rusuk mereka dan belakang mereka seraya dikatakan kepada mereka inilah harta yang kamu simpan selama ini buat dirimu, maka rasailah balasan apa yang kamu simpan dahulu."
Ada sesetengah orang takut untuk beli emas sebab kena bayar zakat. Tapi perlu diingat, wang simpanan juga dikenakan zakat setelah syarat wajibnya dipatuhi, antaranya cukup nisab (kadar nilainya sama dengan 85 gram emas, kalau sekarang lebih kurang RM12,300- 7 Mac 2014), haul (tempoh pemilikan selama setahun) dan sempurna pemilikannya (termasuklah yang dalam akaun bank, kecuali bank tu dah bayarkan zakat macam Bank Islam dan Tabung Haji- Mulai tahun 2015, Bank Islam dah tak bayarkan zakat lagi).

Jumhur Ulama' Fiqhseep sepakat mengatakan wajib zakat pada matawang. Matawang tersebut telah menggantikan matawang emas dan perak yang digunakan oleh orang-orang Arab terdahulu dalam perniagaan sebelum kedatangan Islam. Matawang emas dikenali sebagai dinar dan matawang perak sebagai dirham. Setelah Rasulullah S.A.W. diutus menjadi Rasul, maka dinar dan dirham telah diiktiraf sebagai matawang yang sah bagi orang-orang Islam untuk berurusniaga. Kewajipan zakat wang simpanan ini berdasarkan dalil-dalil Al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W.

Kalau simpan emas dalam bentuk dinar, 85 gram tu bersamaan dengan 20 dinar. Kadar zakat yang dikenakan ialah sebanyak 2.5% iaitu bersamaan dengan 2.125 gram, yakni setengah dinar sahaja. Kalau ada 170 gram (40 dinar), baru kena zakat satu dinar. Lepas ni nak kumpul dinar banyak-banyak, senang nak bayar zakat :)

Berlainan pula dengan emas yang dipakai atau barang kemas.

Emas yang dipakai (sebagai perhiasan) walaupun sekali dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi jika ianya melebihi 'uruf (nilai kebiasaan pemakaian masyarakat setempat), maka ia diwajibkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan dari nilai uruf. Nilai yang diambilkira adalah nilai semasa emas sahaja iaitu tidak termasuk batu permata.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menetapkan kadar uruf adalah 150 gram emas.

Contoh:

Berat Emas yang dipakai = 250 gram
Uruf Emas = 150 gram

Berat Emas yang layak dizakat = 250 gram - 150 gram = 100gram
Zakat yang wajib dibayar = 2.5% x (100 gram x harga semasa)

Uruf di Negeri Selangor ialah 800 gram

Rujukan
http://www.maidam.gov.my/zakat/index.php/kutipan-zakat/syarat-wajib-zakat
http://m.zakat.com.my/#ScreenInfoZakatJenisZakat
zakatselangor.com.my

Tonton video animasi yang menarik ni untuk fahami tentang zakat emas 
https://m.youtube.com/watch?v=vUlBTWIlSkI&feature=youtu.be

*Nisab untuk zakat perak ialah 595g. Kalau 10 dirham beratnya 29.75g, kena ada 200 dirham untuk dikenakan zakat

Jangan risau untuk bayar zakat sebab ia MENYUCIKAN harta, bukan mengurangkannya. Lagipun bukankah semua yang kita miliki ni hanya PINJAMAN dariNya? 

Petikan surah At-Taghabun: 17
"Jika kamu meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik (qardhan hasanaa), nescaya Dia melipatgandakan (balasan) untukmu dan mengampuni kamu. Dan Allah Maha Mensyukuri, lagi Maha Penyantun"

Jom berlumba untuk bayar zakat sebanyak-banyaknya inshaAllah 

Norazharina Mat Amin
PG040197
azharina.amin@gmail.com

Kemaskini 23 April 2016

No comments:

Post a Comment

Komen, pertanyaan atau pandangan anda amat dialukan dan dihargai